Showing posts with label DIET UNTUK KEHAMILAN DAN SUSU IBU. Show all posts
Showing posts with label DIET UNTUK KEHAMILAN DAN SUSU IBU. Show all posts

Wednesday, April 15, 2009


PEMAKANAN SELEPAS BERSALIN DAN SEMASA LAKTASI
Tempoh diantara satu jam selepas ibu melahirkan anak sehingga enam minggu yang berikutnya adalah dipanggil tempoh ‘pospartum’. Selepas enam minggu kelahiran, perubahan yang berkaitan dengan kehamilan dan kelahiran akan hilang dan tubuh akan kembali kepada keadaan sebelum hamil. Tempoh ‘pospartum’ adalah sangat penting bagi wanita kerana tubuh memerlukan masa untuk pulih dari kehamilan dan kelahiran. Penjagaan yang elok serta pengambilan diet yang seimbang semasa tempoh ini amat penting untuk kesihatan wanita. Selain itu, tubuh juga mengalami perubahan kerana proses laktasi iaitu penghasilan susu badan bagi bayi yang baru dilahirkan.
Susu ibu adalah yang terbaik untuk bayi. Adalah disarankan menyusui bayi dengan susu ibu secara eksklusif sehingga enam bulan dan dikekalkan penyusuan susu ibu sehingga dua tahun atau lebih, jika boleh. Pemakanan yang diterima oleh bayi pada enam bulan pertama kehidupan mempengaruhi kesihatannya sepanjang hayat. Ibu merupakan sumber khasiat bayi yang utama. Oleh itu, adalah penting untuk ibu meneruskan diet yang tinggi nutrien melalui makan secara sihat.
Menghadkan pengambilan makanan untuk mengurangkan berat badan adalah tidak digalakkan. Menyusu bayi secara semulajadinya dapat membantu dalam penurunan berat badan.
Diet yang sempurna meningkatkan kualiti susu ibu serta mengekalkan kesihatannya serta memberi tenaga untuk menjaga bayinya. Faedah ini akhirnya membantu pertumbuhan dan perkembangan bayi yang sihat.
Islam menggalakkan supaya setiap bayi diberikan susu ibu sejak bayi dilahirkan lagi. Allah menjelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud:
"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap,iaitu bagi mereka yang hendak menyempurnakan penyusuan itu."
Kebaikan Susu Ibu
Untuk bayi :
  • Susu ibu membekalkan nutrien yang terbaik untuk bayi anda.
    • Ia mengandungi nutrien dalam kadar yang mencukupi.
    • Kandungannya berubah mengikut keperluan bayi yang sedang membesar
  • Susu ibu, terutamanya kolostrum , menguatkan sistem imuniti bayi anda.
    • Ia melindungi bayi dari jangkitan seperti cirit birit, selesema, bronkitis dan radang paru-paru.
  • Susu ibu mencegah berbagai masalah alahan seperti asma, ekzema dan kolik bayi.
  • Susu ibu mengandungi Asid Docosahexanoic (DHA) dan Asid Arachidonic (AA) yang amat kritikal untuk perkembangan otak. Ia membantu dalam meningkatkan kecerdikan dan kecerdasan anak anda dan membantu penumbuhan sel-sel otak sehingga 10-15 kali lebih cepat berbanding mereka yang meminum susu lembu.
  • Ia tidak mudah tercemar dibandingkan dengan cara penyusuan lain.
  • Susu ibu mudah diperolehi pada suhu yang betul setiap masa. Oleh itu ia tidak susah untuk disediakan.
  • Ia memberi keselesaan dan keselamatan emosi kepada bayi.
  • Ia memberi peluang kepada ibu dan anak untuk berinteraksi sepenuhnya dan meningkatkan hubungan kasih sayang antara ibu dan anak.
Untuk ibu, penyusuan susu ibu :
  • membantu mengecutkan rahim dan mengembalikannya kepada saiz yang asal dengan cepat serta mengurangkan pendarahan selepas bersalin.
  • membakar kalori dan mengembalikan bentuk badan asal anda dengan cepat.
  • mengurangkan risiko kanser payudara dan kanser ovari.
  • menjarakkan kelahiran jika mengamalkan penyusuan ibu secara sepenuhnya
Lain - lain kebaikan :
  • Tidak memerlukan perbelanjaan dan bekalan susu sentiasa ada.
  • Baik untuk persekitaran kerana tidak memerlukan botol, tin dan kotak-kotak.
Keperluan Nutrien Semasa Laktasi
• Keperluan untuk semua nutrien adalah tinggi terutamanya enam bulan pertama laktasi
• Peningkatan yang tertinggi adalah untuk tenaga, protein, vitamin B1, vitamin B2, vitamin B3, folate, vitamin A, vitamin C, kalsium, zink and iodin.

Diet Sihat Semasa Laktasi
• Makan pelbagai jenis makanan berdasarkan Panduan Piramid Makanan
• Makan dan minum berdasarkan kepada pengambilan yang disarankan. Tiada makanan yang patut dilarangkan.
• Adalah penting bagi wanita laktasi untuk minum air secukupnya untuk mengelakkan kekurangan air tubuh:
– Untuk mengelakkan kekurangan air, minum sekurang-kurangnya 6 hingga 8 gelas air sehari.
– Minum dengan kerap sepanjang hari dan bukan sahaja apabila haus.
– Tingkatkan pengambilan cecair sehari dengan mengambil sup, kuah dan buah-buahan.

Tips Lain

·         Hadkan pengambilan makanan dan minuman yang mengandungi banyak kafein seperti kopi, teh dan kebanyakan air soda. Segelas kopi sepatutnya adalah maksima yang anda boleh ambil dalam sehari.
·         Ambil makanan sedikit-sedikit tetapi kerap jika anda mengalami masalah sakit ulu hati atau mabuk-mabuk.
* Food and Drug Administration (FDA) mengesyorkan ibu menyusu tidak makan ikan jerung, todak, king mackerel kerana kandungan merkurinya yang tinggi.
Sumber :
UCSF Nutrition Counseling Center
What Shoud A Breastfeeding Mother Eat, Ameda

Tuesday, April 7, 2009


KEPERLUAN PEMAKANAN SEMASA HAMIL
Kehamilan adalah satu proses yang sangat dinantikan oleh setiap wanita apatah lagi dikalangan mereka yang baru melangsungkan perkahwinan. Kehamilan akan melibatkan banyak perubahan kepada bakal ibu terutama sekali kepada perubahan fisiologi.
Perubahan ini melibatkan peningkatan kepada keperluan kalori dan nutrien seperti protein, kalsium, zat besi dan vitamin yang sangat diperlukan oleh badan ketika ini. Oleh itu, wanita hamil perlu memastikan makanan yang diambil perlu seimbang dan cukup untuk dirinya dan anak.
Mengapakah mengambil pemakanan yang sihat penting semasa hamil?
Tujuannya ialah:
·         Untuk memastikan perkembangan janin yang sihat
·        Untuk mengekalkan kesihatan ibu.
·        Untuk memenuhi keperluan nutrien dan memastikan penambahan berat badan yang bersesuaian semasa mengandung
o    Jika anda kurang berat badan, anda perlu menambah diantara 12.5 – 18.0 kg
o    Jika berat badan anda normal sebelum mengandung, anda perlu menambah diantara 11.5 – 16.0 kg.
o    Jika berat badan anda berlebihan, anda perlu menambah diantara 7.5 – 11.5 kg.
o    Jika anda obes, anda perlu menambah sehingga 6.0 kg.
o    Jika kandungan anda kembar, anda perlu menambah lebih kurang 16.0 – 20.0 kg.
Semasa mengandung berapa banyakkah yang perlu saya ambil?
Wanita hamil digalakkan untuk mengambil diet yang pelbagai dan seimbang, berpandukan Panduan Piramid Makanan.
·         6-11 hidangan nasi/bijiran atau roti
-          Fungsi : membekalkan tenaga untuk pertumbuhan dan perkembangan janin, perubahan fisiologi dan metabolism.
·         3-5 hidangan sayur dan buah (sekurang-kurangnya satu yang kaya dengan vitamin C dan satu dalam vitamin A)
-          Fungsi: membekalkan sumber vitamin, mineral dan serat, mencegah berlaku sembelit dan meningkatkan daya tahan badan/imuniti.
·         2-4 hidangan susu atau produk tenusu
-          Fungsi: membekalkan sumber protein, membina sel tisu otot dan tulang.
·         3-4 hidangan daging, ikan dan makanan protein lain termasuk kekacang
-          Fungsi: membekalkan sumber protein, zat besi, membina sel tisu otot dan tulang serta menghasilkan sel darah, enzim dan hormon.
·         6-8 gelas air, dan tidak lebih daripada satu cawan minuman ringan (coca-cola) atau secawan kopi atau teh sehari.
-          Fungsi: mengekalkan bendalir dalam badan.
Diet sihat semasa hamil

• Wanita hamil perlu mengambil makanan secukupnya, bukan sahaja untuk dirinya tetapi untuk anak di dalam kandungannya juga. Tetapi, ini tidak bermakna dia perlu menggandakan saiz hidangannya.
• Amalkan pengambilan pelbagai makanan yang berkhasiat, seperti jadual di bawah.
Jadual : Nutrien dan sumber-sumber makanannya     
Nutrien
Sumber-sumber makanan

Kalsium
Susu dan hasil tenusu, ikan yang tulangnya boleh dimakan (seperti sardin dalam tin, ikan bilis), kacang dan hasil kacang termasuk dhal, tauhu dan tempeh, sayuran (bayam, pucuk ubi, kailan dan brokoli), produk diperkaya dengan kalsium (susu berkalsium tinggi, yogurt, bijirin sarapan pagi, biskut dan nasi)



Zat Besi
Kerang, ikan bilis, hati, daging tanpa lemak, ayam, telur, kacang, tauhu kering, pucuk paku, peria, bayam dan kangkung
Nota:
a) Suplemen zat besi harian adalah sangat disarankan
b) Sumber makanan yang mengandungi zat besi haruslah diambil bersama makanan yang tinggi vitamin C untuk penyerapan yang lebih baik


Iodin
Makanan laut seperti kerang, kupang, ikan air laut, rumpai laut, telur, daging, susu dan hasil susu, bijirin, kekacang yang dikeringkan, sayuran yang dikeringkan dan buah-buahan yang dikeringkan

Zink
Daging, ikan, kekerang, kacang, biji benih, kekacang, bijirin bijian penuh (terutamanya bran)

Folate
Sayuran berdaun hijau, kacang bendi, asparagus, kekacang, hasil bijian yang diperkaya dan hati

Vitamin A
Yis, kekacang, produk yang diperkaya seperti roti, bijirin dan biskut

Vitamin B1
Yis, daging tanpa lemak, kekacang, produk yang telah difortifikasikan seperti roti, produk bijirin dan biskut

Vitamin B2
Kekacang (kacang kuda, soya, kacang merah dan kacang hitam), daging, telur ayam dan ekstrak daging

Vitamin B3
Daging lembu, hati, ikan, ikan bilis, kacang dan kacang-kacang lain, bijian penuh dan tepung gandum mil penuh

Vitamin E
Minyak sayur, kacang dan bijirin
Sumber: Recommended Nutrient Intakes for Malaysia (RNI), Malaysia, 2005
Mengidam dan mengelakkan makanan tertentu
• Mengidam dan mengelak makanan tertentu tidak mencerminkan keperluan fisiologi dan biasanya disebabkan oleh perubahan yang diaruh hormon dari segi rasa dan sensitiviti terhadap bau.
• Mengidam dan mengelak makanan tertentu, terutamanya dalam tempoh yang singkat tidak menyebabkan perubahan yang ketara terhadap pengambilan nutrien dan status pemakanan.
Jadual 2: Saranan pemakanan bagi mengatasi masalah kehamilan yang biasa dialami
Masalah
Punca
Apa yang perlu dilakukan
Muntah
• Perubahan hormon yang biasa berlaku semasa awal kehamilan
• Makan biskut kering apabila terasa loya
• Ambil hidangan dalam jumlah yang kecil tetapi kerap apabila tidak merasa loya
• Elakkan makanan yang berbau kuat
• Ambil suplemen vitamin dan zat besi seperti yang diarahkan apabila perut kenyang atau semasa tidak loya
• Dapatkan nasihat doktor jika mengalami muntah-muntah yang teruk dan berpanjangan

Sembelit
• Pergerakan usus berkurangan
• Kekurangan aktiviti fizikal
• Tekanan di usus akibat pembesaran rahim
• Ambil makanan yang berserat tinggi (contoh: roti bijirin
penuh, bijirin sarapan pagi, sayur dan buah)
• Minum banyak air
• Minum jus prun atau makan buah prun
• Jangan berlengah untuk ke tandas apabila terasa hendak buang air besar
• Lakukan senaman yang ringan dan bersesuaian

Pedih ulu hati
(heartburn)
• Pembesaran janin member tekanan kepada perut. Ini menyebabkan asid di perut naik ke atas dan rasa kepedihan di tekak
• Makan hidangan yang kecil dan kerap
• Minum antara waktu makan
• Elakkan makanan yang berminyak dan berempah
• Duduk tegak semasa makan
• Tunggu sehingga 1 jam selepas makan sebelum berbaring
• Tunggu 2 jam selepas makan sebelum bersenam

Hipertensi 
akibat hamil
(preeclampsia
dan eclampsia)
• Sindrom bercirikan hipertensi, protein dalam urin dan simpanan bendalir
• Ambil kalsium mengikut saranan harian
• Ambil kalsium mengikut saranan harian
Diabetes 
gestasi/ Tolerans
glukosa
terganggu
• Kawal atur insulin yang berubah akibat hormon plasenta
• Teruskan pemantauan terhadap gula darah semasa hamil oleh pakar sakit puan dan pakar dietetik
• Utamakan kepentingan diet untuk mengawal gula darah dan memastikan perkembangan janin yang normal

Makanan yang perlu dielakkan semasa hamil
Semasa hamil, pastikan anda tidak mengambil makanan yang berbahaya untuk bayi dalam kandungan seperti:
·         Salmonella - dalam telur, ikan, daging yang tidak dimasak sempurna
·         Salad atau ulam-ulam yang tidak dimasak termasuk coleslaw
·         Makanan bungkus yang mungkin dipanaskan berulangkali
·         Hati ayam/lembu- terlebih vitamin A boleh memudaratkan bayi dalam kandungan
·        Kafein - Kafein termasuk kopi, teh dan kebanyakan air soda. Jangan lebih secawan sehari.
·      Kacang tanah - Jika anda atau pasangan punya sejarah alahan terhadap kacang atau lain-lain    makanan, elakkannya untuk mengelakkan bayi mendapat alahan.
·        Utamakan ikan kecil daripada ikan besar
·        Cheese yang tidak dipasteur

Asid folik (Folate)

·       Asid folik perlu diambil untuk mengelakkan kecacatan bayi terutamanya di trimester pertama (sehingga 3 bulan).
·       Sebaik-baiknya, ibu hamil mengambil suplemen 400mcg asid folik.
·       Makanan yang banyak mengandungi asid folik termasuk bijirin sarapan, sayur bayam, roti dan lain-lain.
Rujukan:
(1)     Pemakanan Semasa Mengandung, myhealth.gov.my
(2)      Healthy Eating During Pregnancy, Jen Pittendreigh SRD,British Dietetic Association.
(3)      Weight Gain in Pregnancy, Babycenter.com
(4)       Wanita & Pemakanan (Panduan Praktikal Profesional Kesihatan) terbitan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.