Wednesday, April 15, 2009


PEMAKANAN SELEPAS BERSALIN DAN SEMASA LAKTASI
Tempoh diantara satu jam selepas ibu melahirkan anak sehingga enam minggu yang berikutnya adalah dipanggil tempoh ‘pospartum’. Selepas enam minggu kelahiran, perubahan yang berkaitan dengan kehamilan dan kelahiran akan hilang dan tubuh akan kembali kepada keadaan sebelum hamil. Tempoh ‘pospartum’ adalah sangat penting bagi wanita kerana tubuh memerlukan masa untuk pulih dari kehamilan dan kelahiran. Penjagaan yang elok serta pengambilan diet yang seimbang semasa tempoh ini amat penting untuk kesihatan wanita. Selain itu, tubuh juga mengalami perubahan kerana proses laktasi iaitu penghasilan susu badan bagi bayi yang baru dilahirkan.
Susu ibu adalah yang terbaik untuk bayi. Adalah disarankan menyusui bayi dengan susu ibu secara eksklusif sehingga enam bulan dan dikekalkan penyusuan susu ibu sehingga dua tahun atau lebih, jika boleh. Pemakanan yang diterima oleh bayi pada enam bulan pertama kehidupan mempengaruhi kesihatannya sepanjang hayat. Ibu merupakan sumber khasiat bayi yang utama. Oleh itu, adalah penting untuk ibu meneruskan diet yang tinggi nutrien melalui makan secara sihat.
Menghadkan pengambilan makanan untuk mengurangkan berat badan adalah tidak digalakkan. Menyusu bayi secara semulajadinya dapat membantu dalam penurunan berat badan.
Diet yang sempurna meningkatkan kualiti susu ibu serta mengekalkan kesihatannya serta memberi tenaga untuk menjaga bayinya. Faedah ini akhirnya membantu pertumbuhan dan perkembangan bayi yang sihat.
Islam menggalakkan supaya setiap bayi diberikan susu ibu sejak bayi dilahirkan lagi. Allah menjelaskan dalam surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud:
"Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap,iaitu bagi mereka yang hendak menyempurnakan penyusuan itu."
Kebaikan Susu Ibu
Untuk bayi :
  • Susu ibu membekalkan nutrien yang terbaik untuk bayi anda.
    • Ia mengandungi nutrien dalam kadar yang mencukupi.
    • Kandungannya berubah mengikut keperluan bayi yang sedang membesar
  • Susu ibu, terutamanya kolostrum , menguatkan sistem imuniti bayi anda.
    • Ia melindungi bayi dari jangkitan seperti cirit birit, selesema, bronkitis dan radang paru-paru.
  • Susu ibu mencegah berbagai masalah alahan seperti asma, ekzema dan kolik bayi.
  • Susu ibu mengandungi Asid Docosahexanoic (DHA) dan Asid Arachidonic (AA) yang amat kritikal untuk perkembangan otak. Ia membantu dalam meningkatkan kecerdikan dan kecerdasan anak anda dan membantu penumbuhan sel-sel otak sehingga 10-15 kali lebih cepat berbanding mereka yang meminum susu lembu.
  • Ia tidak mudah tercemar dibandingkan dengan cara penyusuan lain.
  • Susu ibu mudah diperolehi pada suhu yang betul setiap masa. Oleh itu ia tidak susah untuk disediakan.
  • Ia memberi keselesaan dan keselamatan emosi kepada bayi.
  • Ia memberi peluang kepada ibu dan anak untuk berinteraksi sepenuhnya dan meningkatkan hubungan kasih sayang antara ibu dan anak.
Untuk ibu, penyusuan susu ibu :
  • membantu mengecutkan rahim dan mengembalikannya kepada saiz yang asal dengan cepat serta mengurangkan pendarahan selepas bersalin.
  • membakar kalori dan mengembalikan bentuk badan asal anda dengan cepat.
  • mengurangkan risiko kanser payudara dan kanser ovari.
  • menjarakkan kelahiran jika mengamalkan penyusuan ibu secara sepenuhnya
Lain - lain kebaikan :
  • Tidak memerlukan perbelanjaan dan bekalan susu sentiasa ada.
  • Baik untuk persekitaran kerana tidak memerlukan botol, tin dan kotak-kotak.
Keperluan Nutrien Semasa Laktasi
• Keperluan untuk semua nutrien adalah tinggi terutamanya enam bulan pertama laktasi
• Peningkatan yang tertinggi adalah untuk tenaga, protein, vitamin B1, vitamin B2, vitamin B3, folate, vitamin A, vitamin C, kalsium, zink and iodin.

Diet Sihat Semasa Laktasi
• Makan pelbagai jenis makanan berdasarkan Panduan Piramid Makanan
• Makan dan minum berdasarkan kepada pengambilan yang disarankan. Tiada makanan yang patut dilarangkan.
• Adalah penting bagi wanita laktasi untuk minum air secukupnya untuk mengelakkan kekurangan air tubuh:
– Untuk mengelakkan kekurangan air, minum sekurang-kurangnya 6 hingga 8 gelas air sehari.
– Minum dengan kerap sepanjang hari dan bukan sahaja apabila haus.
– Tingkatkan pengambilan cecair sehari dengan mengambil sup, kuah dan buah-buahan.

Tips Lain

·         Hadkan pengambilan makanan dan minuman yang mengandungi banyak kafein seperti kopi, teh dan kebanyakan air soda. Segelas kopi sepatutnya adalah maksima yang anda boleh ambil dalam sehari.
·         Ambil makanan sedikit-sedikit tetapi kerap jika anda mengalami masalah sakit ulu hati atau mabuk-mabuk.
* Food and Drug Administration (FDA) mengesyorkan ibu menyusu tidak makan ikan jerung, todak, king mackerel kerana kandungan merkurinya yang tinggi.
Sumber :
UCSF Nutrition Counseling Center
What Shoud A Breastfeeding Mother Eat, Ameda

1 comment:

  1. Good info.. Nice Blog.. please visit my blog back for more info on beauty & healthy life style.. TQ.. ;-)

    http://kedaivitaminfatimah.wordpress.com

    ReplyDelete