Tuesday, April 7, 2009



PERSEDIAAN PEMAKANAN SEBELUM KEHAMILAN

Wanita yang mengamalkan tabiat makan secara sihat memulakan kehamilan dengan simpanan nutrien yang baik dan berat badan yang sihat. Penjagaan rapi yang diamalkan sebelum kehamilan dapat memberikan faedah kepada diri dan janin kelak.
Persediaan pemakanan untuk kehamilan
• Status pemakanan sebelum kehamilan yang baik adalah penting untuk memastikan pertumbuhan dan perkembangan janin yang baik.
• Pembahagian sel yang cepat untuk membentuk tisu sokongan adalah penting untuk perkembangan janin (seperti plasenta, cecair amniotik, tali pusat dan pekembangan rahim) bermula daripada saat persenyawaan dan kerapkali sebelum wanita itu menyedari akan kehamilannya (biasanya 6 minggu selepas persenyawaan).
• Tiub neural janin akan tutup seawal 28 hari (4 minggu) selepas persenyawaan. Oleh itu, amatlah penting untuk sesesorang ibu itu mengamalkan tabiat pemakanan yang seimbang sebelum hamil.
Implikasi berat badan terhadap kehamilan
• Berat badan sebelum kehamilan boleh memberi kesan kepada perkembangan dan hasil kehamilan.
Wanita yang kurang berat badan mempunyai risiko tinggi untuk:
• Peratusan implantasi embrio dalam rahim lebih rendah yang akan menyebabkan keguguran
• Melahirkan bayi yang kurang berat, terutamanya jika mereka tidak dapat meningkatkan berat badan semasa kehamilan
• Mengalami pendarahan yang teruk semasa bersalin
• Melahirkan anak yang pramatang/tidak cukup bulan dan mempunyai kecacatan congenital
Wanita yang berlebihan berat badan mempunyai risiko untuk:
• Menjadi sukar hamil. Ini disebabkan oleh gangguan proses ovulasi (penghasilan telur) atau tiada ovulasi langsung. Gangguan hormon menyebabkan pembesaran telur tidak sempurna atau tidak mencapai saiz yang diperlukan untuk ovulasi. Selain itu, ia juga mengganggu kitaran haid
• Mendapat diabetes gestasi yang boleh menyebabkan kelahiran bayi besar (berat melebihi 4kg) dan komplikasi lain seperti risiko yang tinggi untuk bersalin secara pembedahan (caesarean section). Risiko keguguran juga tinggi
• Hipertensi/tekanan darah tinggi yang boleh menyebabkan pre-eklampsia (tekanan darah tinggi dan berlebihan protein dalam air kencing selepas 20 minggu kahamilan), yang akan membahayakan ibu dan bayi sehingga boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat
Bayi berat lahir rendah:-
• Lebih mudah mengalami komplikasi yang memberi kesan kepada organ penting seperti organ pernafasan
• Lebih mudah terdedah kepada jangkitan penyakit
• Risiko kematian yang tinggi pada bulan pertama kehidupan
• Berkemungkinan mempunyai IQ yang rendah dan kecacatan otak dan sensori
Bayi besar:-
• Lebih berisiko untuk menjadi kanak-kanak dan orang dewasa yang berlebihan berat badan atau obesiti
• Lebih cenderung untuk mengidap diabetes jenis 2, hipertensi dan penyakit jantung apabila dewasa
Amalan pemakanan 
·       Tekankan kepentingan untuk mencapai status pemakanan yang optimum sebagai persediaan ke arah kehamilan yang sihat.
·      Ini adalah penting kerana keperluan pemakanan wanita meningkat semasa kehamilan, terutamanya asid folik, zat besi dan kalsium.

ASID FOLIK (FOLATE)
·   Wanita yang mengambil asid folik sekurang-kurangnya empat minggu sebelum kehamilan boleh mengurangkan risiko kecacatan pada saraf tunjang dan tempurung kepala bayi sebanyak 70%. Kekurangan folate juga akan menyebabkan kandungan sel darah merah yang rendah semasa mengandung. Keadaan ini dipanggil anemia.
·    Untuk memastikan wanita mempunyai cukup asid folik, pengambilan sekurang-kurangnya 400 mikrogram asid folik digalakkan sekurang-kurangnya sebulan sebelum memulakan kehamilan. Kebanyakan pil tersedia dalam kuantiti 5,000 mikrogram (milligram), ini juga selamat diambil.
·     Asid folik atau folate juga boleh diperolehi melalui makanan. Folate banyak terkandung dalam sayuran bayam, kacang buncis, kacang panjang, produk soya, kekacang, makanan diperkaya seperti jus, bijirin, buahan sitrus, ayam dan ikan.
ZAT BESI (IRON)
·    Zat besi juga diperlukan sebelum mengandung sebanyak 15mg sehari dan meningkat kepada 30mg sehari semasa mengandung.
·    Zat besi diperlukan dalam pembentukan sel-sel darah merah. Fungsi ini juga dilakukan oleh folate. Kekurangan darah merah (anemia) akan menyebabkan anda merasa cepat letih, kulit menjadi pucat, sukar bernafas dan juga pitam.
·    Pengambilan pil zat besi adalah cara termudah untuk memastikan anda mendapat bekalan zat besi yang secukupnya. Ini penting sekiranya anda tidak dapat memperolehi zat besi daripada makanan dalam kuantiti yang cukup. Zat besi yang berlebihan pula tidak digalakkan kerana ia akan menyebabkan sembelit. Dos yang tinggi juga boleh menyebabkan rasa loya dan muntah.
·    Sumber-sumber utama zat besi daripada makanan ialah daging merah seperti daging lembu, kambing dan telur. Zat besi sumber haiwan ini mudah diserap oleh badan. Selain itu, sayur-sayuran hijau seperti brokoli, kekacang dan cereal yang diperkaya dengan zat besi juga boleh diambil.
·    Tetapi, penyerapan dan penggunaan zat besi adalah lebih baik dengan kehadiran vitamin C. Oleh itu, cubalah ambil makanan-makanan atau pil zat besi dengan segelas air buah yang kaya dengan vitamin C seperti jus oren. Penyerapan zat besi pula boleh dibantutkan oleh kehadiran kalsium dan juga minuman yang mengandungi kaffein seperti kopi. Ini bermakna anda tidak digalakkan mengambil pil zat besi dengan segelas susu atau air kopi.
KALSIUM
·   Kalsium diperlukan sebelum mengandung sebanyak 1000mg sehari dan meningkat kepada 1200mg sehari semasa mengandung.
·    Kalsium diperlukan sebagai sumber utama untuk pembinaan tulang dan gigi yang kuat bukan hanya untuk bayi, tetapi juga untuk ibu. Sekiranya pengambilan kalsium semasa mengandung tidak mencukupi, kalsium daripada tulang anda akan diambil (dilarutkan) dan diberikan kepada bayi anda. Ini boleh mengakibatkan jisim tulang anda semakin rendah, satu keadaan dipanggil osteoporosis. Bukan itu sahaja, kekurangan zat kalsium boleh menyebabkan kaki anda sering kejang semasa tidur.
·    Kalsium banyak didapati melalui pengambilan susu dan produk tenusu yang lain. Bagaimanapun, pengambilan yang berlebihan menyebabkan masalah kolesterol yang tinggi. Jadi, pilihlah susu dan produk tenusu yang rendah lemak. Selain daripada itu, kalsium juga boleh didapati melalui sardin, ikan bilis, tofu, oyster, sayuran mentah, udang dan kekacang. Untuk susu, anda digalakkan mengambil 2 hingga 3 gelas susu sehari.
KAFEIN
  • Kurangkan pengambilan kafein. Ada kajian menunjukkan pengambilan kafein melebihi 500 miligram sehari boleh melewatkan kehamilan. Biasanya secawan kopi mengandungi antara 80 hingga 175 miligram kafein. Bagaimanapun, ia bergantung kepada kaedah penyediaan dan jenis kopi yang diambil. Bertukarlah kepada kopi tanpa kafein.

ALKOHOL
·    Elakkan daripada mengambil alcohol. Alkohol akan menjejaskan peluang wanita untuk hamil kerana ia  merencatkan proses ovulasi.
SENAMAN
·    Bersenam secara tetap dan teratur. Senaman bukan saja dapat membantu mengekalkan berat badan,  tetapi turut menjadikan anda lebih sihat dan cergas. Ia juga akan menguatkan badan untuk melalui  kehamilan tanpa masalah. Senaman juga boleh mengurangkan risiko mengalami masalah sembelit dan  vena varikos (urat kaki menjadi kembang dan berbelit) yang biasa dihadapi wanita mengandung.  Senaman juga boleh membantu memudahkan proses kelahiran bayi.


Anda mesti ingat bahawa apa sahaja yang anda makan sebelum hamil akan memberi kesan kepada kesihatan dan kehidupan masa hadapan bayi anda. Jadi, rancanglah pemakanan anda sebaik-baiknya sebagai persediaan sebelum hamil.
Rujukan:
(1)      Wanita & Pemakanan (Panduan Praktikal Profesional Kesihatan) terbitan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
(2)      Pemakanan Sebelum Mengandung, myhealth.gov.my

No comments:

Post a Comment