Wednesday, April 17, 2013

PENURUNAN BERAT BADAN: DIET ATAU SENAMAN, MANA LEBIH PENTING?


Ramai yang percaya bahawa senaman lebih penting untuk penurunan berat badan. Realitinya, melalui pemerhatian dan kajian, diet atau mengurangkan kadar pengambilan kalori harian lebih berkesan untuk mendapatkan berat badan yang diidamkan berbanding senaman. Individu yang hanya fokus melakukan senaman tanpa perubahan diet tidak akan mencapai penurunan berat badan yang signifikan. 

Kenapa hal ini boleh berlaku? Cuba bayangkan, terdapat kira-kira 3500 kcal dalam ~0.5 kg lemak. Jadi, untuk mengurangkan 0.5 kg lemak seminggu, anda perlu mengurangkan 500 kcal sehari daripada diet harian. Atau, anda perlu melakukan senaman yang boleh membakar kalori sekurang-kurangnya 500 kcal atau lebih untuk sehari. Ini bersamaan dengan jogging selama 1 jam, berenang selama setengah jam atau berbasikal selama 1 jam sehari. Saya tidak nafikan senaman boleh menurunkan berat badan dengan berkesan, tetapi sanggupkah anda melakukan aktiviti-aktiviti ini setiap hari bagi memastikan berat badan anda ideal? Ia bergantung kepada kehendak individu itu sendiri.

Berbalik kepada diet. Jika anda ingin kurangkan 0.5 kg lemak, anda cuma perlu kurangkan 500 kcal sehari daripada makanan harian. Contohnya, sesenduk nasi/sekeping roti/3 keping biskut bersamaan dengan 75 kcal. Jadi, jika anda kurangkan 4 senduk nasi kepada 2 senduk nasi, anda boleh jimat 150 kcal daripada diet asal. Berbanding 4 sudu gula untuk minuman, tukar kepada 1 sudu gula yang boleh menjimatkan 180 kcal. Dan, cuba gantikan snek yang tidak sihat seperti keropok, kerepek, biskut manis, roti berkrim kepada buah-buahan segar, anda boleh jimatkan kalori daripada 200-500 kcal kepada hanya 60 kcal untuk sebiji buah. Senangkan? 


Tetapi, kombinasi perubahan diet dan senaman adalah yang terbaik bagi pengurusan berat badan untuk jangka masa yang panjang. Senaman bukan sahaja baik untuk penurunan berat badan tetapi terbukti untuk meningkatkan stamina, menjaga otot, menyihatkan jantung, merendahkan risiko mendapat penyakit, memperbaiki perjalanan darah, mengurangkan tekanan dan banyak lagi. Jadi, lakukan kedua-duanya untuk mendapat berat yang ideal seiring dengan badan yang sihat. Kajian juga menunjukkan individu yang memilih untuk bersenam sebagai rutin harian akan memiliki berat badan yang ideal dalam jangka masa yang panjang. 



No comments:

Post a Comment