Thursday, April 16, 2009


MENGGALAKKAN PEMAKANAN SIHAT UNTUK ANAK

Aspek pemakanan sangat penting untuk kanak-kanak seawal umur enam bulan lagi (selepas memperkanalkan makanan pejal pada anak). Pemilihan makanan dan tabiat makan kanak-kanak dipengaruhi oleh pelbagai faktor terutamanya kanak-kanak yang baru bertatih dan pra-sekolah. Ini termasuklah pengaruh rakan sebaya, cara mereka diberi makanan, cara pemakanan orang dewasa di sekeliling mereka, tanggapan ibu bapa terhadap sesuatu makanan, dan iklan di televisyen.

Sebagai ibu bapa atau guru, anda perlulah memupuk tabiat makan yang sihat dan seimbang di kalangan kanak-kanak dari usia muda kerana ia sangat bermanfaat untuk mereka apabila membesar kelak. Pemakanan yang baik membantu anak anda membesar dengan sihat dan sempurma, dan mencapai potensi penuh mereka, sarna ada semasa bermain atau belajar.

MASALAH YANG BIASA DIALAMI SEMASA MEMBERI MAKAN PADA ANAK

Masalah memberi makan pada anak-anak biasa berlaku dikalangan ibu bapa. Kebiasaanya, anak-anak sukar untuk makan disebabkan oleh mereka tidak biasa dengan makanan baru, terlalu memilih makanan, gangguan persekitaran, ataupun kerana mereka sakit. Masalah-masalah ini boleh menggangu tumbesaran mereka. Berikut adalah beberapa masalah yang biasa dihadapi oleh ibu bapa.

Makan Dalam Kuantiti Yang Sedikit

Ini bermaksud keadaan di mana anak makan sedikit sahaja jika dibandingkan dengan rakan-rakan lain yang sebaya dengannya. Ibu bapa tidak perlu panik jika ia hanya berlaku sekali-sekala dan tidak menjejaskan kesihatan atau tumbesaran anak kerana ia adalah normal untuk anak-anak yang sedang membesar. Tetapi, jika keadaan ini berterusan dan mengganggu pembesaran anak terutamanya jika berat badan mereka susut, penilaian perubatan mesti dilakukan.

Terlalu Memilih Makanan

Ini merujuk kepada anak-anak yang hanya makan sesetengah makanan yang mereka gemari sahaja dan menolak makanan baru. Ini biasa terjadi kerana anak tidak biasa dangan makanan baru. Jadi, pujuklah anak anda untuk mencuba makanan baru.

Tidak Suka Sayur

Selalunya, anak-anak tidak gemarkan sayur-sayuran terutamanya sayuran berdaun hijau. Oleh itu, ibu haruslah memperkenalkan sayur sebagai menu utama kepada anak sejak pertama kali memperkenalkan makanan pejal pada mereka iaitu seawal umur enam bulan. Jika tidak, ia akan menjadi lebih sukar apabila anak sudah menjangkau umur setahun. Ibu perlulah berusaha untuk menyediakan hidangan sayur-sayuran dalam pelbagai cara dan gaya masakan. Hiasan dan kreativiti hidangan juga penting bagi menarik minat anak untuk mencuba sayur tersebut.

Tiada Minat Untuk Makan

Sesetengah anak lebih minat untuk bermain daripada makan. Tetapi, anda tidak perlu risau kerana keadaan ini hanyalah untuk sementara sahaja. Mereka akan tetap makan selepas letih bermain.

Selera Berkurang Ketika Waktu Makan Utama

Sesetengah anak tidak dapat mematuhi waktu makan yang tetap terutamanya waktu makan utama seperti sarapan, makan tengahari dan makan malam. Ini biasanya berlaku disebabkan tabiat memakan snek yang berlebihan yang akan menyebabkan mereka berasa kenyang. Jadi, elakkan anak dari mengambil makanan ringan terutamanya sebelum waktu makan utama.

Selera Tidak Menentu

Kadang-kala, selera anak-anak menjadi tidak menentu. Mereka mungkin berselera pada masa-masa tertentu dan tidak mahu makan pada masa lain. Selera yang berubah-ubah ini biasa terjadi dikalangan anak-anak bahkan turut dialami orang dewasa. Sebagai ibu bapa, kita hendaklah mencari punca keadaan ini berlaku seperti makanan tententu yang tidak digemari, cara makanan dihidangkan yang menyebabkan anak tidak berselera atau juga masalah kesihatan.

TIPS AGAR ANAK MAHU MAKAN


·           Waktu makan di rumah mestilah tetap dan sesuai.

·           Elakkan daripada memaksa anak untuk makan. Sebaliknya, benarkan mereka makan mengikut selera.

·           Pastikan snek diberikan pada tempoh tidak kurang dari 11/2 hingga 2 jam sebelum waktu makan utama jika perlu.

·           Benarkan anak-anak berehat seketika setelah bermain atau melakukan lain-lain aktiviti fizikal sebelum mula makan supaya mereka tidak terlalu penat atau terlampau seronok ketika waktu makan.

·           Untuk anak-anak yang lebih tua, ajak mereka menyediakan makanan bersama anda. Ini boleh menarik minat mereka untuk makan.

·           Jadikan waktu makan menyeronokkan.

·           Pastikan anak-anak duduk dengan selesa dan boleh mencapai makanan.

·           Elakkan daripada menghidang makanan yang terlalu panas atau terlalu sejuk. Ini membuatkan anak terpaksa menunggu untuk makan.

·           Sentiasa beri galakan pada anak untuk makan makanan yang baru diperkenalkan kepada mereka. Jika mereka tidak gemarkan sayur, berikan dalam kuantiti yang kecil atau buatlah hidangan yang tidak menampakkan bentuk sayur seperti memasukkan ke dalam sup, nugget, telur atau nasi goreng.

·           Gunakan kreativiti anda semasa menghidang makanan anak dalam bentuk yang menyeronokkan dan menarik.

·           Sentiasa ubah dan pelbagaikan menu hidangan dari hari ke hari supaya anak tidak jemu.

·           Jika perlu, tanyalah anak anda tentang makanan yang digemari. Berbincang dengan mereka untuk menggalakkan mereka makan.

·           Bagi anak-anak yang kurang makan, bagilah snek yang berkhasiat kepada mereka seperti susu, buah-buahan segar, jus buah-buahan, biskut, atau roti. Tetapi haruslah ingat, snek tidak boleh sekali-kali menggantikan waktu makan utama.

·           Masa atau tempoh makan hendaklah tidak melebihi setengah jam untuk mengelakkan kebosanan.

MENGAJAR KANAK-KANAK TENTANG MAKANAN DAN PEMAKANAN

• Waktu makan boleh dijadikan sebagai satu proses pembelajaran. Beritahulah anak anda tentang makanan yang dihidangkan dan khasiatnya kepada tubuh badan. Tentu mereka lebih berminat untuk makan.

• Jadikan mesej-mesej pemakanan semudah yang mungkin supaya kanak-kanak faham. Jadikan ia sebagai cerita yang menarik untuk anak.

No comments:

Post a Comment