FAD DIET
'Fad diet' adalah sejenis diet yang hanya memerlukan masa yang singkat untuk menurunkan berat badan. Ia menjanjikan penurunan berat badan yang cepat dan biasanya diikuti oleh mereka yang terdesak untuk mengurangkan berat badan. Tetapi, biasanya ‘fad diet’ adalah tidak sihat, tidak seimbang dan kemungkinan besar mempunyai kesan sampingan.
Bagaimana 'fad diet' berfungsi?
'Fad diet' tidak membentuk tabiat makan yang seimbang dan sihat. Sesetengah jenis ‘fad diet’ bukan menurunkan berat badan dengan mengurangkan jumlah lemak dalam badan tetapi hanya menghilangkan kandungan air sahaja. Ini berlaku kerana ‘fad diet’ ini hanya menggalakkan pembungan air melalui air kencing. Cara ini bukan sahaja menyebabkan kekurangan air dalam badan tetapi juga menghilangkan vitamin dan mineral yang diperlukan oleh badan.
Sesetengah ‘fad diet’ menjadi popular kerana ia memberi kesan dalam masa yang singkat seperti diet tinggi protein. Diet jenis ini dapat mengurangkan berat badan dengan cepat kerana kesan diuretic (pembuangan air dari badan) akibat daripada pengambilan karbohidrat yang rendah dan badan akan menggunakan glikogen yang tersimpan. Tetapi, mereka yang mengamalkan 'fad diet' ini biasanya akan mengalami pertambahan semula berat badan.
Selain itu, sesetengah ‘fad diet’ amat membosankan kerana ia menghadkan pengambilan sesetengah jenis makanan. Tabiat ini akan menyebabkan pengurangan berat badan anda. Tetapi, lama-kelamaan tabiat ini boleh menyebabkan selera makan tidak dapat dikawal dan ini akan mengakibatkan pertambahan berat badan lebih daripada berat badan asal.
Tambahan lagi, sesetengah 'fad diet' boleh membahayakan kesihatan. Contohnya, diet yang terlalu rendah kalori boleh mengakibatkan keletihan, ketidakselesaan dan kekejangan otot. Kekurangan protein dan karbohidrat pula menyebabkan rasa pening, keletihan dan pelbagai jenis penyakit lain jika diamalkan dalam masa yang lama.
Diet Rendah Kalori
Diet yang mengandungi kurang atau tidak lebih daripada 800 kalori sehari.
Rasional: Apabila pengambilan tenaga adalah rendah, tubuh akan mendapatkan tenaga yang diperlukan daripada simpanan lemak. Walau bagaimanapun tubuh akan menjadi lebih efisyen dan berfungsi dengan menggunakan tenaga yang rendah itu dan kadar metabolisma tubuh akan menurun, juga cenderung untuk menggunakan tisu tanpa lemak daripada otot.
Risiko: Diet Rendah Kalori dikaitkan dengan pelbagai kesan sampingan dan komplikasi seperti pembentukan batu dalam pundi hempedu, kehilangan jisim otot, ketosis dan peningkatan asid urik dalam darah akibat ketidakseimbangan tenaga. Kematian mengejut juga boleh berlaku pada pesakit yang mempunyai penyakit-penyakit lain terutama pengambilan kalori kurang daripada 600 kalori sehari.
Diet Tinggi Protein
Rasional: Pengambilan karbohidrat dihadkan kepada kurang daripada 30 gram/sehari. Pengambilan terlalu tinggi protein dan lemak yang terlalu tinggi melambatkan perut kosong. Ini mengurangkan keinginan untuk makan dan menghadkan pengambilan tenaga.
Risiko: Diet ini mungkin meningkatkan pengambilan kolesterol dan lemak tepu. Diet ini juga kurang kandungan serat daripada sumber berasaskan karbohidrat, terutamanya bijirin penuh daripada tumbuhan.Pengamal diet ini mungkin mengalami sembelit dan fungsi kognitif yang terjejas. Pengambilan protein yang tinggi meningkatkan paras asid urik dalam buah pinggang dan berisiko untuk pembentukan batu dalam buah pinggang dan gout.
Diet Rendah Lemak
Rasional: Menghindarkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak akan mengakibatkan pengurangan pengambilan jumlah kalori harian.
Risiko: Sesetengah pengikut diet rendah lemak memberi gambaran yang salah seperti menyebarkan mitos bahawa selulit adalah disebabkan oleh bahan toksik dan dengan mengamalkan diet ini boleh membantu mengurangkan lemak terutama pada peha atau pinggang.
Diet Tinggi Serat
Rasional: Diet tinggi serat boleh membantu penurunan berat badan kerana ia memberi rasa yang mengenyangkan lebih lama dengan pengambilan kalori yang sedikit.
Risiko: Jumlah serat yang disarankan biasanya terlalu tinggi dan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti kembung perut dan cirit birit. Bagi mereka yang mempunyai masalah sistem penghadaman, ia akan memburukkan lagi keadaan. Pengambilan serat dari sumber bran yang banyak akan mengurangkan penyerapan mineral seperti zat besi dan zink.
Untuk menurunkan berat badan secara sihat, adalah dinasihatkan supaya mengamalkan tabiat pemakanan yang seimbang dan melakukan senaman secara teratur. Cara ini lebih berkesan dalam memastikan berat badan anda turun secara sihat dan dapat dikekalkan dalam jangka masa yang lama. Elakkan daripada mengamalkan 'fad diet' yang tidak sihat dan dapat memberi kesan buruk kepada kesihatan jangka masa panjang anda.
No comments:
Post a Comment