Monday, June 22, 2009

MEMPERKENALKAN MAKANAN PEJAL PADA BAYI

Mengapakah makanan pejal perlu diperkenalkan kepada bayi?

Makanan pejal diperkenalkan kerana bayi yang sedang membesar memerlukan lebih nutrient atau khasiat (misalnya zat besi). Susu sahaja tidak lagi mencukupi untuk memenuhi keperluan pertumbuhan bayi yang pesat.

Disarankan bermula daripada umur 6 bulan

Mengapa?

Disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Perkembangan sistem penghadaman bayi belum sempurna sebelum umur 6 bulan

Bayi masih mengalami ‘extrusion reflex’ – iaitu menonjolkan lidah ketika diberi makanan

Memperkenalkan makanan pejal terlalu awal lazimnya menyebabkan banyak reaksi alergi

Bagaimanakah mengetahui bayi sedia diberi makanan pejal?

Antara tanda-tandanya ialah:

Mengeluarkan air liur

Kerap terjaga pada waktu malam (mungkin tanda kelaparan)

Memerlukan penyusuan yang lebih kerap

Memasukkan apa sahaja ke dalam mulut

Bayi merenungi anda ketika anda makan

APAKAH MAKANAN YANG PATUT DIPERKENALKAN KEPADA BAYI ANDA?

Daripada umur 6 – 24 bulan

Makanan pertama yang sesuai diperkenalkan adalah bijirin bayi yang terdiri daripada satu jenis bijirin sahaja. Bijirin berasaskan beras amat sesuai sebagai makanan pejal pertama untuk bayi anda. Pilihlah bijirin yang berkonsistensi lembut supaya mudah ditelan, senang dihadam dan tidak menyebabkan alergi.

Pada umur bayi 61/2 bulan, anda bolehlah memperkenalkan rasa baru melalui pelbagai ramuan bercampur seperti buah-buahan, sayuran, atau madu. Pilihlah resipi ringkas dan ramuan yang rendah alergenik untuk mencegah alergi seperti puree buah-buahan atau sayuran.

Daripada umur 8 – 24 bulan

Pada umur 8 bulan, bayi anda bolehlah diperkenalkan dengan tekstur yang lebih keras untuk membantu bayi belajar mengunyah dan menelan. Ini juga membolehkan bayi menikmati rasa yang lebih kaya dan dapat membentuk tabiat makan yang seimbang dengan pelbagai makanan.

Walaubagaimanapun, protein dalam makanan pejal yang diperkenalkan mungkin tidak mencukupi. Oleh itu, susu masih lagi diperlukan oleh bayi anda sebaik-baiknya sehingga berumur dua tahun. Selain kaya dengan protein, susu juga mempunyai pelbagai jenis vitamin dan mineral yang diperlukan untuk tumbesaran bayi.

Petua Memberi Makanan Pejal Pada Bayi

Memperkenalkan hanya satu jenis makanan baru pada satu masa

Berikan makanan baru pada waktu tengah hari supaya lebih mudah diberikan

Selepas beberapa lama, berikan makanan pejal pada waktu pagi, diikuti dengan susu

Mulakan dengan amaun yang sedikit seprti 1-2 sudu teh dan kemudian tambahkan kuantiti makanan perlahan-lahan

Biarkan bayi anda duduk dengan tegak

Jangan paksa jika bayi anda tidak menerima sesuatu makanan

Ikutlah kadar kuantiti yang sesuai dengan keperluan bayi anda

Elakkan daripada menambahkan gula, garam atau bahan perisa lain dalam makanannya

Bagaimanakah mengetahui bayi sudah kenyang?

Meluahkan makanan yang disuap

Menolak mangkuk daripada dirinya

Enggan menelan makanan ataupun menyimpannya dalam mulut sahaja

Bayi anda menoleh mukanya

Menangis, menjerit atau memekik

Makanan lain yang boleh ditambah dari umur 6 bulan

Bubur

Buah yang dilenyek atau blend misalnya betik, epal, pisang, tembikai

Sayuran berwarna kuning seperti lobak merah

Tauhu

Ubi kentang

Daging yang dicincang atau ditapis

Daripada umur 1 tahun dan ke atas

Pada umur sebegini, bayi anda bolehlah beralih kepada makanan dewasa. Terapkan asas pemakanan yang kukuh untuk membekalkan pemakanan seimbang yang penting demi pertumbuhan dan perkembangan yang baik. Diet harian mereka mestilah ditambah dengan daging, ikan, sayuran & buah-buahan boleh dihiris atau dicincang. Galakkan bayi anda menggunakan sudu dan mangkuk untuk memupuk minat mereka agar mahu makan. Galakkan juga penggunaan cawan untuk minum. Selain itu, ajaklah mereka makan bersama ahli keluarga lain supaya lebih berselera.

No comments:

Post a Comment