Tuesday, April 23, 2013

SERAT: PENTING UNTUK DIET SEIMBANG.

Makan lebih banyak serat. Anda mungkin pernah dengar sebelum ni kan? Tapi, tahukah kita kenapa serat baik untuk kesihatan?

Serat boleh didapati daripada buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan kekacang. Fungsi serat yang paling terkenal adalah sebagai bahan pelawas untuk mencegah atau melegakan sembelit. Selain daripada itu, ia juga membantu untuk mengekalkan berat badan yang sihat dan mengurangkan risiko pelbagai penyakit seperti kencing manis dan sakit jantung.

Tidak seperti lemak, karbohidrat dan protein yang boleh dicerna dan diserap oleh badan, serat tidak dicerna oleh badan kita. Sebaliknya, ia akan melalui perut, usus kecil, kolon dan keluar dari tubuh kita.


Serat boleh dikelaskan kepada serat larut (ia larut dalam air) dan serat tidak larut (ia tidak larut dalam air):

Serat larut boleh larut dalam air untuk membentuk bahan seperti gel. Ia boleh membantu kolesterol darah dan menurunkan paras gula darah. Serat larut terdapat dalam makanan seperti oat, kacang, epal, buah-buahan sitrus, lobak merah, barli dan psyllium.

Serat tidak larut pula ialah serat yang menggalakkan pergerakannya melalui sistem pencernaan kita dan memudahkan pembuangan najis untuk mereka yang mengalami sembelit. Tepung gandum,  kacang, kekacang dan sayur-sayuran, seperti kacang hijau dan kentang adalah sumber serat tidak larut.


Kebanyakan makanan yang berasaskan tumbuhan seperti oat dan kacang mengandungi kedua-dua serat larut dan tidak larut. Walau bagaimanapun, jumlah serat mereka adalah berbeza. Jadi, makanlah pelbagai makanan yang tinggi serat.

Diet tinggi serat mempunyai banyak manfaat termasuk:
  • Menormalkan pergerakan usus. Serat boleh meningkatkan berat dan saiz najis anda dan boleh melembutkan najis. Ia akan memudahkan proses membuang air besar dan mengelakkan sembelit. Bagi yang mengalami cirit-birit pula, serat juga boleh membantu menyerap air daripada najis.
  • Membantu mengekalkan kesihatan usus. Diet tinggi serat boleh mengurangkan risiko anda untuk mendapat buasir. Ia juga boleh mencegah penyakit kolon seperti kolon kanser.
  • Merendahkan paras kolesterol. Serat larut boleh membantu mengurangkan paras kolesterol darah dengan mengurangkan kolesterol jahat dalam badan. 
  • Membantu mengawal gula dalam darah. Bagi mereka yang mempunyai penyakit kencing manis, serat terutamanya serat larut boleh melambatkan penyerapan gula ke dalam darah. Diet tinggi serat juga boleh membantu mengurangkan risiko mendapat penyakit kencing manis.
  • Membantu untuk mencapai berat badan yang sihat. Makanan tinggi serat biasanya memerlukan lebih banyak masa untuk dicerna dan dihadam. Jadi, ia boleh memberikan rasa kenyang yang lama. Ia juga mempunyai jumlah kalori yang rendah berbanding makanan lain.
Tapi, berapa banyak serat yang anda perlukan setiap hari?

Keperluan harian serat adalah sebanyak 25-30 gram atau 3-5 hidangan sehari. Ia juga bersamaan dengan 2 biji/potong buah dan 3 senduk sayuran hijau sehari. Tapi, cukup ke pengambilan serat kita untuk sehari?

Jika anda rasa pengambilan serat harian anda tidak mencukupi, mungkin anda boleh tingkatkan pengambilan dengan pilihan lain seperti produk gandum mil penuh, roti mil penuh, pasta, bijirin (oat/nestum/breakfast cereal) dan makanan yang diperkaya atau ditambah dengan serat.

 TIPS TAMBAH PENGAMBILAN SERAT HARIAN.

  1. Pilih menu sarapan yang tinggi serat seperti bijirin, oat, barli, roti mil penuh yang ditambah dengan buah-buahan dan sayur-sayuran segar.
  2. Tambahkan sayur-sayuran dan buah-buahan untuk setiap kali makan tengahari dan makan malam.
  3. Tambahkan pelbagai jenis sayur-sayuran didalam sup atau masakan anda.
  4. Amalkan mengambil snek yang tinggi serat seperti kacang, kekacang, biskut mil penuh, jagung dan buah-buahan segar dan kering (prun/kismis/kurma).
Tapi, awas, pengambilan serat yang mendadak boleh meningkatkan risiko perut kembung, sakit dan cramp. Jadi, tambahkan serat secara perlahan-lahan ke dalam diet bagi mengelakkan risiko tersebut.

Dan, jangan lupa untuk minum banyak air kerana serat akan berfungsi dengan lebih baik apabila badan kita mempunyai cukup air....



No comments:

Post a Comment