Wednesday, July 10, 2013

KURMA MAKANAN SUNNAH

Kurma bukan sahaja kaya dengan pelbagai vitamin, mineral dan serat, ia juga baik untuk kesihatan. Sebab itulah kurma dikenali sebagai makanan sunnah. Banyak hadith menyebutkan kepentingan makan kurma dalam pelbagai keadaan seperti:

Contohnya, Rasulullah bersabda:
"Barangsiapa memakan 7 biji buah kurma sebelum sarapan, maka tidak ada sihir ataupun racun yang boleh mengganggunya pada hari itu." (HR Al-Bukhari)
Hadith ini dikhususkan kepada kurma ajwa yang juga dikenali sebagai kurma nabi.

Begitu juga sabda baginda  tentang mengambil kurma ketika bersahur:
"Sebaik-baik sahurnya seorang mukmin adalah dengan kurma." (HR Abu Daud, Ibnu Hibban dan Al-Baihaqi. Sanad hadith ini sahih)

Ketika berbuka, dan ini sudah menjadi amalan masyarakat. Anas  menyebut:
"Adalah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam berbuka dengan kurma basah (ruthab), jika tidak ada ruthab maka berbuka dengan kurma kering (tamr), jika tidak ada tamr maka minum dengan satu tegukan air." (HR Ahmad, At-Tirmidzi, Abu Daud dan Ibnu Khuzaimah. Sanad hadith ini sahih)

Berikut adalah kandungan nutrisi dalam 100 gram kurma serta kebaikan kurma kepada kesihatan kita.

Kandungan nutrisi dalam 100 gram kurma
(Sumber: USDA National Nutrient data base)

Tenaga 277 Kcal
Karbohidrat 74.97 g
Protein 1.81g
Lemak 0.15 g
Serat 6.7 g
Folat 15 µg
Potasium 696 mg
Kalsium 64 mg
Zat besi 0.90 mg
Magnesium 54 mg
Phosphorus 62 mg
Zink 0.44 mg

Kelebihan kurma kepada kesihatan.

1. Membekalkan tenaga dengan kadar segera kerana kandungan gula ringkasnya. Ia juga membekalkan tenaga secara berterusan kerana kandungan serat yang tinggi.

2. Menggalakkan kesihatan pencernaan dan mengelakkan sembelit. Ini kerana kandungan serat yang tinggi dapat membantu sistem pencernaan dan usus bekerja. Malah, ia dapat mengurangkan risiko buasir dan kanser usus.

3. Mengurangkan tekanan darah. Kandungan potasium yang tinggi dapat membantu mengurangkan tekanan darah tinggi dan juga membantu merendahkan kandungan garam dalam badan.

4. Mencegah anemia. Kurma kaya kendungan zat besi dan folat yang boleh membantu mengelakkan atau memulihkan pesakit anemia. 

5. Meningkatkan kesihatan jantung. Kandungan serat yang tinggi dan potasium dapat membantu menstabilkan kadar denyutan jantung sekaligus mengelakkan risiko strok.

6. Kesihatan gigi dan tulang. Kandungan kalsium dan magnesium penting untuk pertumbuhan tulang dan gigi. 


No comments:

Post a Comment