Tuesday, July 23, 2013

MASALAH KESIHATAN YANG MUNGKIN TERJADI SEMASA BERPUASA 
& CARA MENGATASINYA



1. Pedih Ulu Hati
    
- Ia berlaku jika penghasilan asid perut terlalu banyak dan injap antara perut dan esophagus terbuka yang membolehkan asid ini akan naik ke bahagian atas perut.

Cara mengatasi:
Elakkan makan terlalu banyak dan makan secara perlahan. Jika kita makan terlalu banyak, ia boleh menyebabkan tekanan yang tinggi di dalam perut dan boleh menghasilkan asid perut yang berlebihan. 

- Hadkan makan makanan bergoreng. Makanan berminyak dan berlemak memerlukan masa yang lebih lama untuk dihadam. Lebih lama masa yang diambil untuk proses pencernaan, lebih banyak penghasilan asid perut. 

- Hadkan makan makanan yang pedas yang boleh menyebabkan kembung dan sakit perut.

- Lakukan senaman ringkas bagi melancarkan proses pencernaan dan elakkan dari terus berbaring selepas makan.

2. Sakit Kepala
    
- Ia boleh disebabkan oleh kekurangan air dalam badan, lapar pada siang hari berpuasa atau kurang tidur.

Cara mengatasi:
- Minum air secukupnya terutamanya semasa bersahur.

- Jika ia berlarutan, ambil ubat tahan sakit semasa bersahur.

3. Dehidrasi/Kekurangan Air

- Ia berlaku disebabkan kekurangan air atau kehilangan air yang banyak dari badan sewaktu berpuasa.

Cara mengatasi:
- Minum air yang cukup sebanyak 6-8 gelas sehari.

- Elakkan  pengambilan kafein dari kopi, minuman berkarbonat dan teh bagi mengelakkan kehilangan air dari badan terutamanya semasa bersahur. 

- Elakkan makan makanan yang terlalu masin dan tinggi garam kerana ia boleh menyebabkan kita dahaga dan dehidrasi.

4. Sembelit

- Ia boleh berlaku pada bulan puasa kerana badan kekurangan air, pengambilan makanan yang kurang serat dan banyak makan makanan proses/makanan segera. 

Cara mengatasi: 
- Banyakkan minum air terutamanya air kosong (6-8 gelas sehari), makan buah-buahan (2 biji/2 potong sehari) serta sayur-sayuran (3 senduk sehari) semasa berbuka puasa dan bersahur

- Elakkan pengambilan kafein dari kopi, minuman berkarbonat dan teh bagi mengelakkan kehilangan air dari badan terutamanya semasa bersahur. 

- Lakukan senaman ringan seperti regangan, senamrobik atau berjalan bagi memastikan kelancaran sistem penghadaman.

5. Obesiti/Masalah Kegemukan

- Ia boleh berlaku walaupun kita sedang berpuasa. Ini mungkin akan terjadi apabila kita mengambil terlalu banyak makanan yang berlemak dan manis semasa berbuka puasa dan bersahur.

Cara mengatasi:
- Elakkan makan secara berlebihan terutamanya sewaktu berbuka puasa.

- Makan secara perlahan untuk proses penghadaman dan mengelakkan daripada terlebih makan kerana perut mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk menghantar signal kepada otak menyatakan ia sudah penuh.

- Hadkan makan makanan yang tinggi lemak dan bergoreng kerana kandungan kalori yang tinggi.

- Hadkan pengambilan air manis dan makanan atau kuih yang terlalu manis. Gula juga mengandungi kalori yang tinggi dan boleh menyebabkan peningkatan berat badan.

- Lakukan senaman ringkas bagi memastikan berat badan yang ideal.

6. Tidak Dapat Kawal Diabetes
    
- Ia mungkin berlaku kerana kekurangan gula atau lebih gula dalam badan. Gejala ini dinamakan sebagai hypoglycemia (kurang gula) dan hyperglycemia (lebih gula).

Cara mengatasi:
- Segerakan berbuka puasa. Hadkan pengambilan minuman dan makanan manis. Mulakan dengan makan kurma 1-2 biji dan diikuti dengan makanan lain. 

- Cuba lewatkan waktu bersahur dan jangan sesekali tinggalkan waktu sahur.

- Digalakkan untuk mengambil makanan yang berasaskan karbohidrat kompleks seperti roti bijirin penuh, bijirin sarapan pagi mil penuh atau oat untuk mengurangkan rasa lapar dan memberi kesan kenyang yang lama. Jika makan nasi pula, cuba makan bersama dengan sayur. 

- Minum air yang cukup untuk mengelakkan dehidrasi. Pilih minuman yang tidak bergula.

- Selalu pantau bacaan gula anda menggunakan glukometer terutamanya yang mengambil suntikan insulin semasa bersahur. Jika paras gula terlalu rendah iaitu kurang dari 3.0 mmol/l atau anda mengalami simptom seperti berpeluh, menggeletar, rasa terlalu lapar dan penat, anda perlulah segera berbuka puasa.


No comments:

Post a Comment