Tuesday, April 7, 2009


Tahukah Anda?

 Gula menyebabkan diabetes


  • Penyebab sebenar diabetes adalah berat badan yang berlebihan akibat terlalu banyak pengambilan kalori daripada makanan.
  • Ini boleh terjadi disebabkan pengambilan terlalu banyak makanan berlemak, minyak dan gula yang boleh menyebabkan berat badan bertambah.
  • Gula dengan sendirinya dan secara langsung tidak menyebabkan diabetes.


PERSEDIAAN PEMAKANAN SEBELUM KEHAMILAN

Wanita yang mengamalkan tabiat makan secara sihat memulakan kehamilan dengan simpanan nutrien yang baik dan berat badan yang sihat. Penjagaan rapi yang diamalkan sebelum kehamilan dapat memberikan faedah kepada diri dan janin kelak.
Persediaan pemakanan untuk kehamilan
• Status pemakanan sebelum kehamilan yang baik adalah penting untuk memastikan pertumbuhan dan perkembangan janin yang baik.
• Pembahagian sel yang cepat untuk membentuk tisu sokongan adalah penting untuk perkembangan janin (seperti plasenta, cecair amniotik, tali pusat dan pekembangan rahim) bermula daripada saat persenyawaan dan kerapkali sebelum wanita itu menyedari akan kehamilannya (biasanya 6 minggu selepas persenyawaan).
• Tiub neural janin akan tutup seawal 28 hari (4 minggu) selepas persenyawaan. Oleh itu, amatlah penting untuk sesesorang ibu itu mengamalkan tabiat pemakanan yang seimbang sebelum hamil.
Implikasi berat badan terhadap kehamilan
• Berat badan sebelum kehamilan boleh memberi kesan kepada perkembangan dan hasil kehamilan.
Wanita yang kurang berat badan mempunyai risiko tinggi untuk:
• Peratusan implantasi embrio dalam rahim lebih rendah yang akan menyebabkan keguguran
• Melahirkan bayi yang kurang berat, terutamanya jika mereka tidak dapat meningkatkan berat badan semasa kehamilan
• Mengalami pendarahan yang teruk semasa bersalin
• Melahirkan anak yang pramatang/tidak cukup bulan dan mempunyai kecacatan congenital
Wanita yang berlebihan berat badan mempunyai risiko untuk:
• Menjadi sukar hamil. Ini disebabkan oleh gangguan proses ovulasi (penghasilan telur) atau tiada ovulasi langsung. Gangguan hormon menyebabkan pembesaran telur tidak sempurna atau tidak mencapai saiz yang diperlukan untuk ovulasi. Selain itu, ia juga mengganggu kitaran haid
• Mendapat diabetes gestasi yang boleh menyebabkan kelahiran bayi besar (berat melebihi 4kg) dan komplikasi lain seperti risiko yang tinggi untuk bersalin secara pembedahan (caesarean section). Risiko keguguran juga tinggi
• Hipertensi/tekanan darah tinggi yang boleh menyebabkan pre-eklampsia (tekanan darah tinggi dan berlebihan protein dalam air kencing selepas 20 minggu kahamilan), yang akan membahayakan ibu dan bayi sehingga boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat
Bayi berat lahir rendah:-
• Lebih mudah mengalami komplikasi yang memberi kesan kepada organ penting seperti organ pernafasan
• Lebih mudah terdedah kepada jangkitan penyakit
• Risiko kematian yang tinggi pada bulan pertama kehidupan
• Berkemungkinan mempunyai IQ yang rendah dan kecacatan otak dan sensori
Bayi besar:-
• Lebih berisiko untuk menjadi kanak-kanak dan orang dewasa yang berlebihan berat badan atau obesiti
• Lebih cenderung untuk mengidap diabetes jenis 2, hipertensi dan penyakit jantung apabila dewasa
Amalan pemakanan 
·       Tekankan kepentingan untuk mencapai status pemakanan yang optimum sebagai persediaan ke arah kehamilan yang sihat.
·      Ini adalah penting kerana keperluan pemakanan wanita meningkat semasa kehamilan, terutamanya asid folik, zat besi dan kalsium.

ASID FOLIK (FOLATE)
·   Wanita yang mengambil asid folik sekurang-kurangnya empat minggu sebelum kehamilan boleh mengurangkan risiko kecacatan pada saraf tunjang dan tempurung kepala bayi sebanyak 70%. Kekurangan folate juga akan menyebabkan kandungan sel darah merah yang rendah semasa mengandung. Keadaan ini dipanggil anemia.
·    Untuk memastikan wanita mempunyai cukup asid folik, pengambilan sekurang-kurangnya 400 mikrogram asid folik digalakkan sekurang-kurangnya sebulan sebelum memulakan kehamilan. Kebanyakan pil tersedia dalam kuantiti 5,000 mikrogram (milligram), ini juga selamat diambil.
·     Asid folik atau folate juga boleh diperolehi melalui makanan. Folate banyak terkandung dalam sayuran bayam, kacang buncis, kacang panjang, produk soya, kekacang, makanan diperkaya seperti jus, bijirin, buahan sitrus, ayam dan ikan.
ZAT BESI (IRON)
·    Zat besi juga diperlukan sebelum mengandung sebanyak 15mg sehari dan meningkat kepada 30mg sehari semasa mengandung.
·    Zat besi diperlukan dalam pembentukan sel-sel darah merah. Fungsi ini juga dilakukan oleh folate. Kekurangan darah merah (anemia) akan menyebabkan anda merasa cepat letih, kulit menjadi pucat, sukar bernafas dan juga pitam.
·    Pengambilan pil zat besi adalah cara termudah untuk memastikan anda mendapat bekalan zat besi yang secukupnya. Ini penting sekiranya anda tidak dapat memperolehi zat besi daripada makanan dalam kuantiti yang cukup. Zat besi yang berlebihan pula tidak digalakkan kerana ia akan menyebabkan sembelit. Dos yang tinggi juga boleh menyebabkan rasa loya dan muntah.
·    Sumber-sumber utama zat besi daripada makanan ialah daging merah seperti daging lembu, kambing dan telur. Zat besi sumber haiwan ini mudah diserap oleh badan. Selain itu, sayur-sayuran hijau seperti brokoli, kekacang dan cereal yang diperkaya dengan zat besi juga boleh diambil.
·    Tetapi, penyerapan dan penggunaan zat besi adalah lebih baik dengan kehadiran vitamin C. Oleh itu, cubalah ambil makanan-makanan atau pil zat besi dengan segelas air buah yang kaya dengan vitamin C seperti jus oren. Penyerapan zat besi pula boleh dibantutkan oleh kehadiran kalsium dan juga minuman yang mengandungi kaffein seperti kopi. Ini bermakna anda tidak digalakkan mengambil pil zat besi dengan segelas susu atau air kopi.
KALSIUM
·   Kalsium diperlukan sebelum mengandung sebanyak 1000mg sehari dan meningkat kepada 1200mg sehari semasa mengandung.
·    Kalsium diperlukan sebagai sumber utama untuk pembinaan tulang dan gigi yang kuat bukan hanya untuk bayi, tetapi juga untuk ibu. Sekiranya pengambilan kalsium semasa mengandung tidak mencukupi, kalsium daripada tulang anda akan diambil (dilarutkan) dan diberikan kepada bayi anda. Ini boleh mengakibatkan jisim tulang anda semakin rendah, satu keadaan dipanggil osteoporosis. Bukan itu sahaja, kekurangan zat kalsium boleh menyebabkan kaki anda sering kejang semasa tidur.
·    Kalsium banyak didapati melalui pengambilan susu dan produk tenusu yang lain. Bagaimanapun, pengambilan yang berlebihan menyebabkan masalah kolesterol yang tinggi. Jadi, pilihlah susu dan produk tenusu yang rendah lemak. Selain daripada itu, kalsium juga boleh didapati melalui sardin, ikan bilis, tofu, oyster, sayuran mentah, udang dan kekacang. Untuk susu, anda digalakkan mengambil 2 hingga 3 gelas susu sehari.
KAFEIN
  • Kurangkan pengambilan kafein. Ada kajian menunjukkan pengambilan kafein melebihi 500 miligram sehari boleh melewatkan kehamilan. Biasanya secawan kopi mengandungi antara 80 hingga 175 miligram kafein. Bagaimanapun, ia bergantung kepada kaedah penyediaan dan jenis kopi yang diambil. Bertukarlah kepada kopi tanpa kafein.

ALKOHOL
·    Elakkan daripada mengambil alcohol. Alkohol akan menjejaskan peluang wanita untuk hamil kerana ia  merencatkan proses ovulasi.
SENAMAN
·    Bersenam secara tetap dan teratur. Senaman bukan saja dapat membantu mengekalkan berat badan,  tetapi turut menjadikan anda lebih sihat dan cergas. Ia juga akan menguatkan badan untuk melalui  kehamilan tanpa masalah. Senaman juga boleh mengurangkan risiko mengalami masalah sembelit dan  vena varikos (urat kaki menjadi kembang dan berbelit) yang biasa dihadapi wanita mengandung.  Senaman juga boleh membantu memudahkan proses kelahiran bayi.


Anda mesti ingat bahawa apa sahaja yang anda makan sebelum hamil akan memberi kesan kepada kesihatan dan kehidupan masa hadapan bayi anda. Jadi, rancanglah pemakanan anda sebaik-baiknya sebagai persediaan sebelum hamil.
Rujukan:
(1)      Wanita & Pemakanan (Panduan Praktikal Profesional Kesihatan) terbitan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
(2)      Pemakanan Sebelum Mengandung, myhealth.gov.my


Tahukah Anda?

Saya tidak gemuk, jadi saya tidak perlu bersenam

  • Sebenarnya, bersenam bukan sahaja untuk menurunkan berat badan.
  • Bersenam atau melakukan aktiviti fizikal  banyak memberi  manfaat kepada badan seperti memperbaiki peredaran darah, menguatkan jantung, mencantikkan bentuk badan dan meningkatkan tahap kecergasan badan.
  • Senaman juga akan membuatkan badan sentiasa sihat dan cergas.

Monday, April 6, 2009


HIPERTENSI (TEKANAN DARAH TINGGI)

Hipertensi juga dikenali sebagai tekanan darah tinggi. Hipertensi adalah masalah kesihatan masyarakat di negara maju serta negara membangun termasuklah Malaysia. Di Malaysia, kebanyakan kes tekanan darah tinggi tidak dilaporkan. Lebih kurang 30 peratus kes tekanan darah tinggi tidak dikesan sehingga komplikasi lain seperti angin ahmar, serangan jantung, sakit buah pinggang timbul. Kajian Kesihatan dan Kematian Kebangsaan 1997 menunjukkan kadar berlakunya tekanan darah tinggi adalah 24 peratus dan dijangka akan meningkat kepada 40 hingga 45 peratus dalam masa 20 tahun yang akan datang. Bagi kes yang telah ditemui, 4.1 peratus tidak mendapat rawatan. Tekanan darah tinggi memberi kesan yang besar kepada kos perubatan.

Hipertensi diukur dengan mengukur tekanan sistolik dan tekanan diastolik.

  • Tekanan sistolik adalah tekanan yang wujud apabila jantung mengecut dan darah dipam keluar.
  • Tekanan diastolik adalah tekanan yang wujud apabila jantung mengendur dan darah dipam masuk

Contoh bacaan:

120mmHg (sistolik)

80mm Hg (diastolik)

Pengkelasan tekanan darah di kalangan dewasa (berumur 18 tahun dan ke atas)

 

Tekanan darah (mm Hg)

Kategori

Sistolik

Diastolik

Optimum

<120

<80

Normal

<130

<85

Normal tinggi

130-139

85-89

Hipertensi

Tahap 1 ( ringan)

140-159

90-99

Tahap 2 (sederhana)

160-179

100-109

Tahap 3 (teruk)

180-209

110-119

Tahap 4 (sangat teruk)

≥210

≥120

(Sumber: Joint National Committee on Prevention, Detection, Evaluation, and Treatment of High Blood Pressure)


SIAPA YANG BERISIKO TINGGI MENDAPAT HIPERTENSI?

Faktor Risiko Hipertensi:

  1. Sejarah keluarga
  2. Kegemukan (obesity)
  3. Tekanan darah yg melebihi normal
  4. Tekanan tau stress
  5. Pengambilan garam yg berlebihan
  6. Gaya hidup sedenteri
  7. Merokok
  8. Pengambilan alkohol    


APAKAH SIMPTOM HIPERTENSI?

  1. Kerap kencing
  2. Susah bernafas
  3. Pening dan pitam
  4. Bunyi berdengung
  5. Kemurungan
  6. Muka panas dan merah
  7. Penglihatan kabur
  8. Bengkak kaki
  9. Hidung berdarah
  10. Bunyi berdengung
  11. Kemurungan 


APAKAH KESAN HIPERTENSI?

  • Hipertensi adalah berbahaya kerana ia akan membebankan jantung dan ini menyebabkan arteriosklerosis (pengerasan dinding arteri). Ini meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung dan strok.
  • Hipertensi yang tidak dirawat juga akan membawa kepada penyakit kronik degeneratif seperti retinopati, strok, paru-paru berair, penebalan dinding jantung dan penyakit berkaitan jantung, pengerasan dinding arteri terutama di jantung, buah pinggang dan otak serta kematian.

Kesan-kesan:

 

DIET KHAS UNTUK PESAKIT DARAH TINGGI

(DIET RENDAH GARAM)

Apa Itu Garam?

~ GARAM atau nama saintifiknya NATRIUM (SODIUM) KLORIDA

 Klorida                       ~60 %

 Natrium (Sodium) ~ 40%

Apa Itu Diet Rendah Garam?

~ Diet rendah garam juga dikenali dengan Diet Rendah Sodium iaitu diet yang mengandungi kandungan Sodium ≤ 1500 mg sehari

Mengapa Perlu  Diet Rendah Garam?

~ Diet ini perlu untuk mengurangkan penyakit darah tinggi, edema dan penyakit yang berkaitan dengan kerosakan buah pinggang. Pesakit perlu mengurangkan pengambilan garam di dalam pemakanan mereka

Bahaya Garam Berlebihan!

~ Boleh meninggikan tekanan darah

~ Serangan jantung

~ Sesetengah orang mungkin menghadapi masalah terlalu banyak air di bawah kulit (edema)

Sumber Garam?

~ GARAM NYATA (Masin)

    Iaitu Sodium Klorida (garam) yang kasar dan halus

~ GARAM TERSEMBUNYI (Tidak Masin)

Garam dalam makanan terproses (keropok dan kacang bergaram), makanan dalam tin, sup dalam tin, garam dalam makanan di awet seperti ikan/telur masin, belacan, budu, cencaluk, buah/sayur jeruk, Sodium Bikarbanat yang terdapat dalam baking powder, MSG yang terdapat dalam serbuk perasa, Sodium Benzoat atau Sodium Nitrat yang terdapat dalam minuman bergas dan minuman kotak.

Apa yang perlu saya buat?

ELAKKAN:-

~ Menggunakan garam dalam masakan (garam halus/kasar). Belajarlah menggunakan herba, rempah-ratus dan jus buah-buhan sebagai ganti garam seperti lemon, serai, kunyit dan sebagainya

~ Agen perasa – pati kiub/serbuk, belacan, petis, krim, mayonis, sos barbeku/tomato/cili/tiram, kicap masin/manis

~ Pati masakan – pati ayam/ikan/sayur/daging

~ Agen panaik – baking powder, sodum bikarbonat dan produknya

~  Makanan yang dijeruk/garam/masin/awetkan – telur/ikan/sayur masin, taucu, tosee, buah/sayur jeruk, budu, belacan, cencaluk, ikan bilis, udang kering

~ Makanan terproses -  sardin lauk/makanan segera, ‘baked beans’, burger/sosej/ham/bacon/keropok/snek berperisa dan keju

~ Minuman bergas

Apakah Pula Makanan Yang Boleh Diambil Dengan Bebas?

~ Anda bebas mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran yang disukai. Pilih buah dan sayur yang masih segar, berwarna terang dan elok bentuknya. Anda juga bebas mengambil bijirin asli seperti beras, gandum dan barli 


Tahukah Anda?

Adakah kita boleh makan apa sahaja yang kita mahu kalau kita bersenam?

  • Walaupun kita bersenam dan sangat aktif, ini tidak bermakna kita boleh makan apa sahaja yang kita mahu. 
  • Memang kita telah membakar lebih banyak kalori semasa bersenam atau melakukan aktiviti fizikal tetapi untuk mengekalkan berat badan yang ideal dan sihat, kita perlu seimbangkan jumlah kalori yang diambil daripada makanan  dan jumlah kalori yang di gunakan semasa bersenam.